Sabtu, 10 Januari 2009

Pentingnya Pendidikan dalam Islam

Pentingnya Pendidikan .
Sun, 2006-12-31 11:57 — admin


12/07/2006

Di dalam Islam, pendidikan adalah amat penting. Ia adalah merupakan fardhu ain bagi setiap mukalaf dan fardhu kifayah bagi masyarakat Islam mengusahakan tempat terwujudnya gelanggang pendidikan itu.

Ajaran Islam adalah menuntut umatnya agar menitikberatkan ilmu dan pendidikan. Cuma ilmu yang dipelajari itu ada yang fardhu ain, ada yang fardhu kifayah dan ada yang sunat.

Tujuan utama pelajaran dan pendidikan itu diwujudkan bukan semata-mata hendak menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tapi hendak melahirkan insan yang bertaqwa. Yang mana Allah itu menjadi cinta agungnya, Akhirat adalah menjadi matlamat hidupnya, dunia adalah tempat bercucuk tanam segala bentuk kebaikan dan ketaatan untuk hasilnya diperolehi di Akhirat sana agar selamat dari Neraka dan berjaya masuk Syurga.

Perlu diingat, setelah berjaya membentuk insan yang bertaqwa melalui pelajaran dan pendidikan, ertinya kita telah dapat membentuk rekrut-rekrut pasukan perjuangan atau pendakwah yang telah terlatih dan pandai mengguna senjata ilmu untuk menerima satu kewajipan atau panggilan masyarakat. Selepas belajar atau siap siaga untuk memperjuangkan apa yang telah diperolehi dari sekolah, atau dengan kata-kata lain rekrut-rekrut para pelajar tadi berkewajipan datang bertebaran di tengah kehidupan manusia menyampaikan pelajaran serta membangunkan syakhsiah manusia agar mereka menjadi insan-insan yang bertaqwa inilah yang disebut oleh Al Quranul Karim apa yang dinamakan -" amrun bil makruf wanahyun anil mungkar "

Di sini dapat kita faham bahawa sekolah bukan semata-mata untuk ilmu agar dapat melahirkan ahli ilmu, atau melahirkan ahli ilmu yang bertauliah dengan tujuan untuk makan gaji atau ilmu bukan untuk sara hidup dan untuk kemegahan dan nama di dunia, tapi hendak melahirkan rekrut-rekrut Tuhan atau rijalullah agar dapat bertanggungjawab menyampaikan ajaran Allah Taala di bumi Allah ini. Mereka adalah guru-guru yang mengenal Allah kepada manusia, pejuang-pejuang kebenaran yang hidup mati untuk Allah, pendakwah-pendakwah atau daie-daie yang gigih yang matlamatnya hanya satu iaitu agar agama Allah itu diterima oleh manusia dan dapat mengatasi seluruh agama di atas muka bumi ini. Dengan kata-kata lain agar manusia seluruhnya menyembah Allah yang mencipta mereka.

Begitulah matlamat pelajaran dan pendidikan, begitu besar ertinya kepada manusia. Ia adalah merupakan roh dan nadi kepada seluruh kehidupan, agar seluruh kehidupan manusia berjalan dengan penuh disiplin, bertolong bantu, bekerjasama, berjalan di atas syariat Allah. Penuh kasih sayang dan harmoni.
Kalau bukan tujuan ini, sekalipun pelajar-pelajarnya cemerlang di dalam pelajaran, lahir ahliahli ilmu di berbagai bidang, munculnya cendiakawan-cendiakawan yang terbilang, pada Islam pelajaran dan pendidikan itu atau sekolah itu telah gagal yang amat besar. Kerana ia telah melahirkan manusia-manusia yang tidak kenal penciptanya, membelakangkan syariat-Nya, hidup di Akhirat bukan keutamaan, dunia menjadi buruan, dengan itu lahirlah manusia yang mementingkan diri, sombong, gila nama dan glamour. Maka lahirlah budaya jatuh menjatuhkan, fitnah memfitnah, singgung menyinggung, umpat mengumpat, kata mengata. Maka dengan itu mengundang huru-hara di dalam kehidupan. Akhirnya semua manusia sudah tidak merasakan lagi keselamatan dan keamanan.

Oleh itu kita melagang pendidikan bukan main-main, ia adalah satu tanggungjawab yang amat besar, yang memerlukan jiwa besar. Membangunkan pendidikan bukan boleh sambil lewa, kerana pada pendidikan itu rahsia terbangunnya syahsiah manusia yang bertaqwa. Sekaligus dapat membangunkan kemajuan dan tamadun dunia.
Ini sesuai manusia itu sebagai khalifah Tuhan di bumi, agar segala-galanya berjalan di atas syariat Allah. Moga-moga pendidikan ini adalah benih yang kita tanam yang akan menumbuhkan kebun pendidikan di masa depan.

Tidak ada komentar: